DENDAM TAK SUDAH
Dendam membara Karma Wijaya
saat teringat Tamingsari
rebah menyembah bumi
hutang darah wajar dibayar
Melaka mesti diajar.
Saat Melaka gah dan mewah
saat Karma menyusun langkah
titah raja tanpa usul periksa
ternyah si Tuah angkara fitnah
dengan dayang dia bermukah
dan setianya dia menurut perintah
dibuang dia pergi
dibunuh dia mati.
Derhaka si Jebat kerana setianya si Tuah
pada baginda yang tidak pernah
ada rasa bersalah
tidak pernah
ada yang menyanggah.
Hari ini Jebat dan Tuah bertarung lagi
bukan menentukan
siapa derhaka siapa setia
siapa celaka siapa mulia
kerana Tamingsari
sudah hilang sakti
kerana Melaka sudah hilang tahta
kerana Melayu sudah hilang malu.
Kuala Lumpur, APRIL 2002

Ulasan
Catat Ulasan