Catatan

Tunjukkan catatan dari Ogos 7, 2008

Mencari Mimpi

Malam ini keseorangan dalam dunia baru diri terasa kecil kerdil dan lemas dalam nafas realiti mencari mimpi dalam hutan batu ada resah pada wajah bulan ada pilu pada gerak awan setiap kelam yang terpalit pada lorong ku raung penat diri mencari erti sebuah kehidupan. Tanah Rata, Cameron Highlands. 31 OGOS 1998

Kalau Kamu Melayu

Bukan mudah untuk ku jalin semula kelarai hidup ku yang lusuh dan rapuh pudar dan gementar warnanya dimamah usia tua dan lupa dipenjara kerusi roda saban waktu berteleku menghadap menghendap pada tingkap kaca menghirup resah merah senja. Alangkah indah lanskap alaf baru tidak seperti waktu dahulu banglo batu mengganti rumah kayu lampu mewah mengganti pelita sumbu minyak tanah. Kalau kamu melayu kamu tidak akan lupa tanah ini pernah ku teroka dengan susah dan sengsara tanah ini pernah ku baja dengan darah dan airmata tanah ini pernah ku jaga dengan payah dan derita tanah ini pernah ku bela dengan gagah dan perkasa. Lalu bagaimana bangunan yang dibangunkan di atas tanah ini milik orang lain ? Kuala LUmpur, OGOS 2001

Malam Manis

Imej
Begitu manisnya seorang isteri mencium tangan suami pada suatu malam pertama dia bergelar isteri kepada seorang lelaki. Alangkah manisnya lagi seorang suami sebelum memulai apa-apa ia mendahulukan Tuhan dalam segala urusan pohonlah apa-apa kerana tidak akan bergerak suatu zarah tanpa perintah dari Nya. Aduhai malam kirimkan hangatmu pada angin yang bertiup di luar sana kerana di sini di dalam kamar ini seorang suami dan seorang isteri Tuhan menjadi saksi untuk suatu permulaan sebuah perkongsian. Kuala Lumpur, JAN 2000

Persepsi

Siapa sahaja jika bercita-cita menjadi penyelam di laut lepas dan luas perlu punya pengetahuan perlu punya pengalaman mengukur gelombang dan menimbang keupayaan kerana untuk sampai ke dasarnya perlukan seribu kekuatan. Sukarnya mencari mutiara kepuasan di dasar lautan tidak bertepian bahaya ada di mana-mana kita boleh terbunuh bila-bila. Berdosakah anak dagang terkadang terpaksa menumpang bahtera orang atau berolehkah pahala jika sekadar menjadi pelakar puisi moyang. Sesungguhnya kita manusia berdosa cuba mengasah belakang parang sedang matanya melukai tangan. Bangi, MEI 1998

Pabila Setiap Kali Aku Tertawa

Imej
Keletahnya saban hari anak-anak ku adalah tasik tenang yang hidup di dalamnya gelak tawa senyum riang ia berenang-renang tanpa bimbang ada badai hiba melanda ada taufan menggila. Kerenahnya saban hari anak-anak ku adalah sungai rindu yang mengalir dari tasik tenang deru airnya dan deras arusnya membasuh prasangka yang melumuti batu-batu kalbu. Kehendaknya saban hari anak-anak ku adalah pohon-pohon rimbun yang meredupi tebing imanku setiap waktu. Pabila setiap kali aku ketawa melihat muara bahagia melepaskan syukurnya ke laut redha ombak ganas masih menghempas ke pantainya.

Kemaruk

Imej
Pada wajah bulan ada mentari yang bersinar dalam redup mata mu ada cinta bercahaya memeluk erat jantungku bagai berhenti segala satu satunya yang bernyawa hanya kita. Izinkan aku menjadi rindu yang sesat di rimba rasa bagai dusta itu satu anugerah aku tidak mampu berkata-kata kerana cinta ini suatu sumpah yang membelenggu jasadku ingin sekali aku berlari mengejar bayang-bayang semalam aku ingin lepas bebas mencari sesuatu keasingan dalam hubungan. Kelantan, SEPT 2006

Monolog

Yang hiba membuai sepi di senja begini adalah aku yang tekun menenun kasih berkurun lama ku tatap wajah resah dalam diri memerhati pilu pohon goyah dibedal angin dari jendela terbuka. Ini kasih yang tersisih merintih-rintih memanggil nama Mu dari bangkai sesal angin nanar dari pergunungan mengheret khabar duka yang terhimpun di perlembahan. "Maha besar Tuhanku hamba ini yang kecil kerdil menghadap mengharap barang seberkas belas acapkali di pertemuan ini hanya hamba yang dusta yang alpa yang leka yang hina yang dina hamba ini janji yang Maha Benar hamba yang dijulang hilang di perdupaan." Majlis yang sumbang kini aku tidak lagi diundang untuk memukul gendang kerana aku sudah ditawan dalam rumah Tuhan. Kuala Semantan,1992 Majalah Dewan Siswa Sept 1992 Anugerah Sastera SISWA-BANK RAKYAT Antologi cerpen dan puisi SISWA 'Annyss Sophillea' Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur

Prejudis

Selaut geram dan segunung dendam membakar langit dunia dari Vancouver hingga ke Utara Fukuoka bumi hangus dalam api benci. "Islam itu adalah kengerian yang tercipta dari raut dan janggut dari nama dan tudung kepala. Islam itu adalah keganasan yang terbina dari jubah dan purdah dari percaya dan menerima" Bohong itu jika diulang-ulang ia kan datang dengan topeng terindah kerana kita bangsa seadanya tidak memberi tetapi cepat menerima tidak mengerti tetapi cepat mengia tidak mendahului tetapi cepat gembira. Kuala Lumpur, FEB 2004

Peti

Imej
Subuh sunyi aku yang bernama suami resah menghambat diri membongkar rahsia peribadi Sebuah peti berisi cinta ku usung sepenuh daya mengharung arus rumahtangga nun di sana jauhnya tebing cita-cita sedang aku di sini masih lagi berhati-hati. Terima kasih kekasih peti ini hadiah buat mu sempena ulang tahun ketiga perkongsian kita. Kuala Lumpur, Mingguan Malaysia, 1999

Merandai bertengkolok

Andai benar sabda si Tuah tak kan Melayu hilang di dunia tak kan setanjak hilang segak tak kan kamu hilang malu.  Saat pencak hilang rancak saat gusar melanggar liar aku di sisi destar Natar Hitam Balung Ayam Mas Bersusun Jata Berayun. Segak tampan manis menawan Melayu Bugis Dagang tak balik menyusun langkah bermohon limpah berkat Tuhan perkenan sultan. Bunga Cengkih Teluk Berantai Temu Kasih indah di pakai Pakaian Hulu Kasih Melambai nak dara rindu teruna tak sampai. Lang Menyambar Menyusur Angin Laksamana Kedah pulang berdagang Jong Sarat Pucuk Beringin Dendam Tak Sudah dipakai orang Jangan dicabar Melayu Deli berpantang ajal sebelum mati. Dewan Raja Lumu Muzium Sultan Alam Shah Shah Alam Selangor 4-6 APRIL 2003

Bukan Seperti Itu

Imej
Seandainya syurga itu boleh dibeli dengan harga satu ribu akan ku pinta kepada malaikat penjaga pintunya resit wang deposit kerana larisnya tiket masuk ke syurga bimbang nanti tatkala aku sudah mati syurga sudah 'penuh' dan aku pula jenuh memberi alasan di hadapan Tuhan. Seandainya neraka itu hanya seperti api dunia akan ku tempah kapan kalis api buatan Germany ( Kerana kita belum mampu mencipta kapan berteknologi ) bimbang nanti tatkala aku sudah mati harga kapan meningkat ribuan dan aku tidak mampu menggerakkan sesuatu walau seruas jariku. Namun syurga dan neraka itu ia lebih dari apa yang kita sangka nikmatnya tidak tahu diucap sebagaimana siksanya tidak mampu diungkap semacam apa. Kuala Lumpur, APRIL 2002

Takdir 2

Seandainya rasa ini masih di sini akan ku tunggu biar lamanya masa yang berlalu tanpa ku tahu. Sahabat terasa berat hati ini berkata pada waktu itu kita terlalu baru untuk kenal dan bermesra seperti lazimnya bila bersama. Sekian lama memendam rasa kita memilih jalan berlainan dunia kita tidak pernah bertemu kau dan aku terpisah oleh ruang waktu menunggu. Pantai Sabak, APRIL 2002

Mentari Merdeka

Mentari merdeka terbit ia dengan rasa cinta dan kasih sayang dari air mata serta darah bergenang dengan cahaya yang terang benderang melenyap gelap segenap. Di padang lapang kitalah anak-anak merdeka yang berlari-lari saban hari tanpa peduli mungkinkah awan hitam akan menerkam maka hujan  pun berguguran. Aku terlalu mencintai mu aku terlalu menyayangi mu tak ingin aku kehilangan mu Negaraku dalam jiwaku hanya ada kamu dalam darahku hanya ada kamu dalam nafasku hanya ada kamu siapalah aku tanpa mu. Maka Tuhan izinkan aku merayu kepada Mu biarkan mentari kekal di sini untuk anak-anak kami. Kelantan, 30 OGOS 2007

Airmata Chechnya

Imej
Chechnya berdarah semula entah dosa apakah anak-anaknya angin damai tidak lagi bertiup iramanya letupan senjata celaka aromanya hanyir darah merah kebencian cahayanya bara api perkauman tanahnya diperkosa pohonnya tunggul-tunggul berbara rumahnya pusara tanpa nama. Chechnya berhati gundah berwajah resah lukanya kian parah dan nyawanya terlalu murah telah rebah ia di kaki sejarah tubuh berlumur lumpur petaka. Penjajah merubah sejarah biar mati anak!Biar mati adat! Atas nama keamanan sejagat biarkan darah Chechnya melimpah ke lain daerah! Bilakah lagi langitmu akan menurunkan hujan bahagia dan bumimu mengalirkan sungai permai ? Mingguan Malaysia Kuala Lumpur, FEB 2000