Kalau Kamu Melayu

Bukan mudah untuk ku jalin semula
kelarai hidup ku yang lusuh dan rapuh
pudar dan gementar warnanya
dimamah usia tua dan lupa
dipenjara kerusi roda
saban waktu berteleku
menghadap menghendap pada tingkap kaca
menghirup resah merah senja.

Alangkah indah lanskap alaf baru
tidak seperti waktu dahulu
banglo batu mengganti rumah kayu
lampu mewah mengganti pelita sumbu minyak tanah.

Kalau kamu melayu
kamu tidak akan lupa
tanah ini pernah
ku teroka dengan susah dan sengsara
tanah ini pernah
ku baja dengan darah dan airmata
tanah ini pernah
ku jaga dengan payah dan derita
tanah ini pernah
ku bela dengan gagah dan perkasa.

Lalu bagaimana bangunan yang dibangunkan
di atas tanah ini milik orang lain ?


Kuala LUmpur, OGOS 2001

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Ku Kirim Rindu Di Angin Lalu

Mentari Merdeka

DENDAM TAK SUDAH