Prejudis

Selaut geram dan segunung dendam
membakar langit dunia
dari Vancouver
hingga ke Utara Fukuoka
bumi hangus dalam api benci.

"Islam itu adalah
kengerian yang tercipta
dari raut dan janggut
dari nama dan tudung kepala.

Islam itu adalah
keganasan yang terbina
dari jubah dan purdah
dari percaya dan menerima"

Bohong itu jika diulang-ulang
ia kan datang dengan topeng terindah
kerana kita bangsa seadanya
tidak memberi tetapi cepat menerima
tidak mengerti tetapi cepat mengia
tidak mendahului tetapi cepat gembira.


Kuala Lumpur, FEB 2004

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Ku Kirim Rindu Di Angin Lalu

Mentari Merdeka

DENDAM TAK SUDAH