Memoir
Empat belas tahun bersama melayarkan bahtera kehidupan bukanlah suatu pengembaraan masa yang singkat.Asam garam dan pahit manis lautan kehidupan rumahtangga sudah sebati dalam diri..Ranjau duri yang melata di pulau perhentian kami tempuhi dengan bijak dan waspada.Tiada sakit yang tidak kami rasa .Tiada duka yang tidak kami jumpa. Namun berkat kesabaran dan kesantunan diri melalui segalanya dengan segala ruang rasa redha dan pasrah akan seninya ujian dari Tuhan.
Dan hari ini syukur ku panjatkan ke hadrat Tuhan yang maha penyantun.Aku masih lagi di sini berdiri tercari-cari sudut kebahagiaan yang sebenar antara aku,dia dan kesayanganku. Tiada perkataan mahu pun perbuatan yang dapat menggambarkan segalanya pada saat aku masih lagi dibelenggu dengan rasa bersalah diri sendiri..Berdosakah aku menjadi pemerhati? Tanpa riak dan rasa membiar angin nestapa menyapu laman kebahagiaan kami.Tanpa gagap dan gagau meredah ranjau kehidupan yang terbentang luas di perjalanan tanpa tujuan...
Namun aku sedar jika ingin segalanya berfungsi seperti biasa jangan sesekali lupa akan bumi yang dipijak lantaran tingginya langit yang dijulang..Moga hatiku tidak berhenti bertasbih memuji-Mu....
DIA YANG DIAM...
Dia memang begitu sejak dahulu. Sejak aku kenal dia belasan tahun dahulu. Kadang-kadang hanya aku yang bercerita tanpa ada balasan kata-kata. Mendengar adalah kegemarannya. Hinggalah satu hari apabila kami sudah mengenali hati budi dan bersatu sebagai suami isteri, dia pula yang suka bercerita dan aku lah pendengar yang paling setia.
Cuma pada permulaan, ibarat gunung yang berdiri, rajuknya panjang sekali. Hingga terkadang aku hilang kata-kata untuk memujuknya kembali. Terkadang jika ada wang atau masa senggang dia ku hadiahkan sejambak ros merah tanda dia yang utama, dia yang perdana dan dia segala-galanya.
Selepas itu kehadiran cahayamata menjadi petanda bahawa kami tak mungkin berpisah lagi. Tidak kira bagaimana keadaan, bagaimana suasana, kami tetap bersama melayarkan bahtera kehidupan dalam lautan rumahtangga. Ombak kehidupan; segara segala menggila di tengah lautan terbuka. Jauhnya pulau perhentian untuk kami isi bekalan yang hampir kehabisan lantaran jauhnya pelayaran.
Dan jika nanti kami jumpai pulau itu, izinkan kami mengumpul segenap rindu untuk kami meneruskan pelayaran ke dunia yang lebih bercahaya bernama cinta. Kerana cinta itu bukan hanya kerana dia yang bernama isteri,bukan hanya kerana dia ibu kepada empat cahayamataku, tetapi dia lebih daripada itu. Siapa yang memahamiku lebih dari segala ? Siapa yang menyayangi ku lebih dari semua ? Jika bukan dia yang ku rindu...


Ulasan
Catat Ulasan