RAMADAN (Saat bayang memanjang)

Saat bayang memanjang
Ramadan bagaikan
sebuah gedung borong
tempat menjual ganjaran
pahala amalan.

Ramadan 
datang lagi
mengisi hari-hari
ia bukan bulan berehat
kerana harus giat ibadat
hadirnya cuma seketika
mendapat berkat siapa beringat.

Di kota ini
Ramadan bagaikan pesta jualan
makanan dan minuman
hingga lupa tujuan mula
di mana-mana warganya berbelanja
Acar, Agar-agar, Nasi Kandar, ikan bakar,
Masam Manis, Kiuh Lapis, Sambal Bilis, 
sayur tumis,
Tahi Itik, Ayam Percik, Apam Balik, Nasi Paprik,
Nasi Kerabu, air tauhu, Putu Bambu, Ayam Madu
segalanya melimpah di pasar juadah
tepuk dada tanya selera
tepuk poket tanya duit
tepuk iman tanya amalan.

Ramadan bulan keampunan
rebutlah ia walau dengan apa cara
tahun hadapan belum tentu diizinkan
kerana hidup punyai sempadan.


Kuala Lumpur, NOV 2002

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Ku Kirim Rindu Di Angin Lalu

Mentari Merdeka

DENDAM TAK SUDAH