Catan Kenangan
Jika semalam boleh ku ganti menjadi hari ini
atau besok
akan ku palitkan warna-warna
kesukaanku
di atas kanvas kehidupan
kerana warna-warna semalam
adalah warna luka
yang ku tuang ke dalam
cangkir memori
setitis demi setitis
dan catan hidup ini
bukanlah dilukis dengan warna gembira
hitam dan suram
adalah warna air mata
yang mengalir deras di pipi hari.
Sepantas mana pun tanganku
menghayun berus nasib
pada kanvas itu
sesuram mana pun warna tangis
yang melatari lukisan ku
atau sekejam mana pun kata-kata
yang ku hambur ke laman takdir
namun semalam tidak mungkin akan menjadi
hari ini atau besok
kerana kenangan adalah catan
yang telah dibingkaikan.
Kuala Lumpur, OGOS 2003

Ulasan
Catat Ulasan