MERENUNG PAKU BERKARAT




Dinding berparut
kerana ada paku berkarat di situ
yang melekat sejak sekian lama. 

Tanpa siapa peduli
mengapa ia di situ
dengan separuh terbenam
sakitnya sudah lama berlalu
yang tinggal hanya lubang-lubang yang berlumut
yang disapa hangat serta dingin alam. 

Sesekali semut-semut berehat melaga sesungut
ada manis tersepuh pada kerak dan karat
oleh tangan tidak berbasuh
di situ pada pangkal paku berkarat 
yang separuh terbenam itu
kadang-kadang disangkutkan baju abah
yang baharu pulang dari ladang
kadang-kadang digantungkan kunci rumah
terkadang juga kunci masalah.

Namun jarang sekali paku berkarat itu 
melukai hati
kerana terpaku ia sebegitu tinggi
hanya tangan-tangan tertentu 
yang mampu mencapainya
ia tidak perlu disanjung
apa lagi dijunjung
namun ia tetap ada
pada saat ia diperlu.


REJAL SAID.
Kuala Krai , 2022


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Ku Kirim Rindu Di Angin Lalu

Mentari Merdeka

DENDAM TAK SUDAH