Catatan

Apa Yang Kamu Rasa ?

Imej
   Pada saat kamu menyakiti hati ku, dengan pelbagai tuduhan dan tohmahan,aku hanya berdiam diri kerana  ku rasa berdiam diri pada saat ini lebih baik lantaran menyaksikan kamu menggila membakar melempar mencalar maruah ku...Bukan kah kita serumpun dari leluhur yang sama.Kamu Melayu; begitu juga aku. Kamu Islam sama dengan ku.Bezanya kamu di sana dan aku di sini..Mengapa mesti kamu nyalakan api benci dan kamu bongkar pusara dendam yang terpendam kian lama.    Aku tidak tahu pasti, apa lagi mahu mu, pada saat kau malukan aku dengan kata nista dan perilaku durja.Lantas memaksa aku tunduk mengikut telunjuk memohon kemaafan kepada kesalahan yang tidak pernah aku lakukan.Apa niatmu pabila sering kali menguji kesabaran dan sifat toleranku? Kita Punya Kitab Yang Sama.    Lupakah kamu siapa aku dan kamu ? Hanya kerana kamu bangsa Indonesia dan aku bangsa Malaysia ? Jika kerna itu kamu memandang aku dengan mata kebencian,jika kerna itu kamu mendengar aku den...

Salam Ramadhan (tanpa rasa apa-apa,tanpa berbuat apa-apa...)

Imej
Entah mengapa setelah sekian lama menyepi, tergerak di hati ku untuk menukar genre penyampaian kepada khalayak ku...mungkin juga Ramadhan amat memberi kesan.Tanpa di sedari Ramadhan kian hampir ke penghujungnya.Dan aku masih di sini tanpa rasa apa-apa, tanpa berbuat apa-apa...Sedang di sekeliling ku, manusia-manusia berkepentingan saban waktu menghambat waktu; meracik dosa dan melepa pahala..dan aku masih di sini tanpa rasa apa-apa, tanpa berbuat apa-apa...Mungkin juga aku perlu menunggu sehingga aku benar-benar bersedia, namun Tuhan... siapalah aku dalam dunia yang bukan milikku...izinkan aku menumpang walau cuma sepetang kerana aku masih lagi di sini tanpa rasa apa-apa,tanpa berbuat apa-apa...

AKU INGIN INGIN AKU

Imej
Pada wajah bulan ada mentari yang bersinar dalam redup mata mu ada cinta bercahaya memeluk erat jantungku bagai berhenti segala satu satunya yang bernyawa hanya kita Izinkan aku menjadi rindu yang tersesat di rimba rasa dusta itu bagai suatu anugerah aku tidak mampu berkata kata kerana cinta itu suatu sumpah yang membelenggu jasadku ingin sekali aku berlari mengejar bayang-bayang semalam aku ingin lepas bebas mencari sesuatu keasingan dalam hubungan. REJAL SAID Kelantan,SEPT 2006

BOM BUDAYA

Imej
Bom budaya meledak anak-anak ku tidak sempat mencari tempat selamat lalu tubuh bergelimpang dengan darah bergenang tertusuk budaya subang pada telinga, kening, hidung lidah, pusat bahkan pada bahagian sulit. Hanyir darah mengalir  kucar-kacir minda fikir pegangan terburai amalan terkulai iman mereka hancur berkecai di mana ayah ketika amaran diberi di mana ibu ketika anak-anak perlu. Bom budaya tidak mengenal mangsa ia pembunuh turun temurun ia meruntuh tembok tamadun. Pada saat mayat dibedah siasat telah kering darah maruah dan membeku di hujung waktu anak-anakku belum kenal makna menyesal mereka hilang nyawa hanya kerana budaya tidak bermoral. REJAL SAID Kuala Lumpur, NOV 2002

Sekadar ingatan

Imej
Angin semalam                                                          yang mengheret bau rindu lalu menerpa ke ruang rasa seraya menghiris sepi menikam diri dengan pisau hiba maka terperciklah darah sebak ke laman luka.  Siapa aku? jika bukan semalam meminjam rasa sayang dan bimbang terlempar aku ke jurang hitam dan berbau diriku bukan sekadar berbaju ragu malah berkain bimbang dan berkasut walang.  Siapa aku ? tanpa mereka yang dahulu berbaju sengsara hancurlah aku di dalam ruang alpa jatuhlah aku ke dalam jurang celaka.  Tuhan bebaskan aku dengan sedikit rasa sakit kehilangan selamatkan aku dari siksa rasa kecewa keangkuhan. rejal said,  Tangga Bradley, Kuala Krai...

RAUNG YANG TERKURUNG

Imej
Ku lepaskan bicaraku ke selatmu ku selam hatiku ke dasarmu ku dakap rinduku ke batu-batu ku hampar harapku ke pantaimu ku tabur mahuku ke langitmu ku biar aku menjadi kamu Selat Melaka. Kerana waktu puncak lalulintassesak pasarayaberasak burung-burung gagak peniaga-peniaga ttttamakkkk hutang-piutang bertunggak jiranjiran bergasakkasagreb warga-warga berlagak si kaya mendongak si miskin mencongak adalah lumpur-lumpur kelabu yang memaliti putih bajuku kerana aku adalah raung yang terkurung dalam mimpi ngeri penghuni hutan batu. rejal said,  TELUK KEMANG, N.S. SEPT 2003

Sepetang Di Pasir Kelang

Imej
Sungai berkaca-kaca dan retak seribu saat bot menderu melaju  tiba-tiba di hati membunga rasa teruja untuk ku cium kakiku ke bau resah kuala tanah mu kali pertama hati tertanya tanya bagaimana nanti kan kau terima aku seadanya.  Sedikit ku simpan rasa pedih ini menghidu harum rindu pembangunan ku cium baunya dari jauh tetapi sirna sebelum sampai ke sini Aduhai manusia manusia berkepentingan ini juga bumi Tuhan yang perlu kau makmurkan mengapa hanya di tabur janji bukan menabur budi ? REJAL SAID OGOS 2009, Pasir Kelang,Kuala Krai

Sajak Ku Hanya Semuka

Imej
Sajak ku hanya semuka kerana ia lebih mudah dibaca khalayakku hanya sepasang mata berkata-kata ia dengan jari menari-nari dan ruasnya mengukir setiap bahasa diri. Aku tidak mahu sajak ku berbahasa pura-pura kerana ia datang dari hati sanubari setiap kalimah adalah maruah yang mengalir melimpah membasah ke tanah yang resah dan ke lembah yang gundah.  Ku harap sajak ku berbunga mekar menghiasi taman kehidupan harum segar melangkaui laman peradaban. Kuala Krai, 31 OGOS 2006

Tafakur Di Pulau Pangkor

Imej
Sejenak merenung kasih Mu pada butiran pepasir yang memutih di sepanjang langkah ku di pantai ini seakan merenung kasih Mu yang singgah ke perdu hati ku saban waktu. Langit tua saat aku berhiba nun di sana ombak melambai pantai seakan mengajak aku bertasbih memuji Mu merenung ke dalam diri amal ku seperti batu-batu agam tersergam seperti pohon-pohon kelam berbalam seperti awan hitam terdiam muram seperti aku pada waktu ini ada culas dalam nafas ada curang dalam kurang amalku. Pantai Pasir bogak, Pulau Pangkor. OGOS 1998

Wanita Di Mana-mana

Imej
Wanita di mana-mana dengan sombong menalkini mini telekung rambut mengerbang telanjang menunggang kuda arus cat walk jadi saksi mereka bukan lagi srikandi memencak tanpa keris dengan lenggang seorang puteri dada bonjol mahu ditonjol pada siapa ? pada serakah yang hanya kenal kepuasannya kepuasannyalah ! Wanita di mana-mana belasungkawa buat mereka sampaikan salam syaitan bersiram-siramlah dalam kolam celaka. Kuala Semantan, 1992

Ramadan 2

Imej
Kita sudah hampir tiba di pelabuhan setelah sebulan kita melayarkan bahtera diri di lautan Ramadan. Di lautan ini kita seringkali diuji dengan sabar kita menahan lapar dengan tega kita menahan dahaga dengan mampu kita menahan nafsu kerana kita sudah biasa menahan segala sebagai pelaut kita harus tabah dan berani kerana di sini bukannya lautan biasa ribut taufan tiba-tiba ombak gila bila-bila. Namun di sini hanya di sini di dasar lautan ini tersimpan permata berharga dari Tuhan siapa usaha nikmatnya berganda siapa bertahan hasilnya lumayan siapa tabah rezekinya bertambah. Sediakan kelengkapan secukupnya supaya nanti kita tidak akan rugi atau kehabisan bekalan di tengah-tengah pelayaran. Kuala Lumpur, NOV 2002

RAMADAN (Saat bayang memanjang)

Imej
Saat bayang memanjang Ramadan bagaikan sebuah gedung borong tempat menjual ganjaran pahala amalan. Ramadan  datang lagi mengisi hari-hari ia bukan bulan berehat kerana harus giat ibadat hadirnya cuma seketika mendapat berkat siapa beringat. Di kota ini Ramadan bagaikan pesta jualan makanan dan minuman hingga lupa tujuan mula di mana-mana warganya berbelanja Acar, Agar-agar, Nasi Kandar, ikan bakar, Masam Manis, Kiuh Lapis, Sambal Bilis,  sayur tumis, Tahi Itik, Ayam Percik, Apam Balik, Nasi Paprik, Nasi Kerabu, air tauhu, Putu Bambu, Ayam Madu segalanya melimpah di pasar juadah tepuk dada tanya selera tepuk poket tanya duit tepuk iman tanya amalan. Ramadan bulan keampunan rebutlah ia walau dengan apa cara tahun hadapan belum tentu diizinkan kerana hidup punyai sempadan. Kuala Lumpur, NOV 2002

Catan Kenangan

Imej
Jika semalam boleh ku ganti menjadi hari ini atau besok akan ku palitkan warna-warna kesukaanku di atas kanvas kehidupan kerana warna-warna semalam adalah warna luka yang ku tuang ke dalam cangkir memori setitis demi setitis dan catan hidup ini bukanlah dilukis dengan warna gembira hitam dan suram adalah warna air mata yang mengalir deras di pipi hari. Sepantas mana pun tanganku menghayun berus nasib pada kanvas itu sesuram mana pun warna tangis yang melatari lukisan ku atau sekejam mana pun kata-kata yang ku hambur ke laman takdir namun semalam tidak mungkin akan menjadi hari ini atau besok kerana kenangan adalah catan yang telah dibingkaikan. Kuala Lumpur, OGOS 2003

DENDAM TAK SUDAH

Imej
Dendam membara Karma Wijaya saat teringat Tamingsari rebah menyembah bumi hutang darah wajar dibayar Melaka mesti diajar. Saat Melaka gah dan mewah saat Karma menyusun langkah titah raja tanpa usul periksa ternyah si Tuah angkara fitnah dengan dayang dia bermukah dan setianya dia menurut perintah dibuang dia pergi dibunuh dia mati. Derhaka si Jebat kerana setianya si Tuah pada baginda yang tidak pernah ada rasa bersalah tidak pernah ada yang menyanggah. Hari ini Jebat dan Tuah bertarung lagi bukan menentukan siapa derhaka siapa setia siapa celaka siapa mulia kerana Tamingsari sudah hilang sakti kerana Melaka sudah hilang tahta kerana Melayu sudah hilang malu. Kuala Lumpur, APRIL 2002

Di Tepi Pantai

Imej
Akulah ombak yang menghempas memulas ke batu-batu pecah dan basah lantai hati ku. Akulah buih-buih yang memutih di sepanjang langkah ku membimbit sepatu tiba masa kan pecah ia satu persatu. Aku angin damai yang mengusap pepohon resah nan tumbuh memagari pantai kehidupan tegang dan tenang silih berganti. Sesekali aku perahu di tengah lautan terbuka gila di gigi gelora mendamparkan dosa lalu berkaparan di pesisiran. Begitu sukar menjadi seorang lelaki yang bernama suami andai belum pandai mengawal diri di pantai ini. Pantai Morib, FEB 2001

Ucaptama

Imej
Basah dedaunan resah ditimpa hujan pagi ini gamat suara keramat saat dia berbicara membuka minda dan mata hati kami. Hujahnya laksana lembing-lembing berapi yang menujah ke hati-hati kami membakar kolam rasa dia pemimpin berjiwa rakyat di dadanya ada hasrat ingin melihat kami sepakat merandai irama kontradiksi. Hujan pagi kian melebat membasahi dataran ini membasahi hati kami biar ada getar dari luar mengajak kami berkompromi jangan ditangisi akan kematian demokrasi telah tersemadi ke dalam lahad ke dalam jasad ke dalam hasrat. Dataran Merdeka, Kuala Lumpur SEPT 1998

Ucap Akhir

Imej
Janganlah merasa resah jika hari esok kita berpisah hidup baru sahaja bermula dan kitalah nakhoda pelayaran diri di lautan pendidikan.  Lima semester kita di sini ada debar menanti ada duka menyelubungi ada resah melingkari ada payah diselami ada cinta ditangisi ada tabah di hati ada bahagia dinikmati ada indah dikecapi. Kita telah dewasa untuk hidup seterusnya bahtera telah sedia di pelabuhan menunggu waktu untuk dilayarkan. Rejal Said,  Maktab Perguruan Islam, Bangi NOV 1998

Sinisme

Imej
Suatu senja aku melihat ada musnah pada hijau daun dan pucuk merimbun tamadun tanah tempat menadah restu Tuhan serta lembah daerah pertemuan. Siapakah yang melukaparah dan menaburesah ke laman peradaban ? Kita sering keliru tentang diri untuk apa kita di sini tentang Tuhan untuk apa kita dijadikan. Aku melihat ada nyala pada subur lembah dan hanyir darah keangkuhan di sini di dalam era globalisasi kita hilang dalam terang kitalah raja teknologi informasi tersohor abad ini terujakah kita dengan rasa gah diri sendiri sedang di hujung langit sana matatari sudah hampir cair. Kuala Lumpur, 1998

Mimpi Marhaen

Imej
Lelaki marhaen ku temui dia di celah-celah riuh kota dengan payah kaki melangkah melepasi deret kedai-kedai mewah di tangannya secebis roti sisa siapa yang dijumpai barangkali dari timbunan sarap lorong atau hadiah dari lebihan jualan pasar borong. Malam ini entah di mana dia mahu bermimpi entah di sini entah di mana-mana bermimpi jadi seorang YB yang mengisi perut sendiri dengan penat rakyat atau bermimpi jadi seorang kerani di sebuah kelab judi buat menyara anak isteri atau bermimpi jadi seorang kuli di sebuah syarikat konglomerat yang dibuang pergi yang di bunuh mati. Sementara aku di sini, berdiri sekadar memerhati lelaki marhaen itu mengheret dukanya mencari-cari tempat untuk bermimpi malam ini. Kuala Lumpur, SEPT 1998

Sepi Itu Bukan Milikku

Malam ini ada sepi di dada langit angin dingin memerangkap aku desir daun mengusik hati ku lihat sepi itu turun mendakap aku dengan erat dan membunuh mesra perasaan ini biar ku layanmu laksana seorang puteri. Biar aku tiada siapa mahu ku kenang aku tiada siapa mahu ku rindu kerana aku masih seorang ketika aku melihat pohon mesra baru tumbuh dengan hijau daun dan pucuk merimbun kemarau melanda hati kami lalu pohon itu cepat benar layunya. Biarkan malam ini lebih panjang dan sepi ini terus mencengkam dalam diam kerana aku masih menghafal makna rindu yang mengalir dalam zikir dan pasti subuh nanti sepi ini bukan milik ku lagi. Kuala Lumpur, 1995