Catatan

HUJUNG WAKTU.

Imej
Tiada lagi koma (ku harap)  di antara bait demi bait dalam hidupku serta menghitung langkah-langkah lemah sebelum bertemu noktah.  Delapan tahun hanyalah sepicing mata melihat derasnya arus sungai pendidikan sedang aku masih lagi terbata-bata menghafal makna rasa dan ingin rasanya ku buka ikatan perahuku namun aku masih gagap menghitung laju arusnya yang menderu menenggelamkan sarap-sarap dan kayu-kayu di permukaan.  Ini perahu lama milikku  ada sumbing di dinding  ada usang melekang pada kayunya justeru itu ia tidak mampu meluru menongkah deru arus perubahan lantaran hujan lebat di hulu membawa segala gegak dan galau  transformasi.  ku tabur anak benih baharu  nan terbit dari subur tanahairku mereka harus dibaja dengan bahasa paling mulia disiram dengan rasa cinta paling dalam oleh guru  selain aku.  28 MEI 2024 BACHOK, KELANTAN

MERENUNG PAKU BERKARAT

Imej
Dinding berparut kerana ada paku berkarat di situ yang melekat sejak sekian lama.  Tanpa siapa peduli mengapa ia di situ dengan separuh terbenam sakitnya sudah lama berlalu yang tinggal hanya lubang-lubang yang berlumut yang disapa hangat serta dingin alam.  Sesekali semut-semut berehat melaga sesungut ada manis tersepuh pada kerak dan karat oleh tangan tidak berbasuh di situ pada pangkal paku berkarat  yang separuh terbenam itu kadang-kadang disangkutkan baju abah yang baharu pulang dari ladang kadang-kadang digantungkan kunci rumah terkadang juga kunci masalah. Namun jarang sekali paku berkarat itu  melukai hati kerana terpaku ia sebegitu tinggi hanya tangan-tangan tertentu  yang mampu mencapainya ia tidak perlu disanjung apa lagi dijunjung namun ia tetap ada pada saat ia diperlu. REJAL SAID. Kuala Krai , 2022
Imej
Tajuk : SELAMATKAN KAMI ( Puisi Merdeka 2019) Ungkapan-ungkapan hanyir yang mengalir laju menerpa menerjah melimpah menghenyak ke tebing rasa ku yang kian lumpuh            rapuh                     jatuh                              seluruh.  Rasa bisa rasa luka rasa hina rasa celaka menjilat tubuh ku yang tersandar di sudut kelam rasa amarah.  Mahu saja kuhunus keris ini seraya ku tujah ke dada pengkhianat itu. Mereka tidak layak memijak laman ini kerana bunga-bunga kedamaian sedang berkembang mewarnai indah laman kediaman kami. Sewajarnya kita memberi mereka kata dua! Tinggal di sini dengan penuh taat setia atau pergi dengan jenuh luka di dada. Duhai penyala api provokasi duhai pelebur besi toleransi Datang kamu tidak diundang pergi kamu tidak dihalang. Kerana itu Tuhan rahmati kami ampuni kam...

MATA SI MATAHARI

Imej

Di Mana Mana Di Mina

Imej
Di mana mana di Mina ayuh kita berdoa untuk saudara kita di sana di Syria dan di Gaza saat kaki melangkah menuju ke jamrah dengan tangan melontar rasa amarah Di sini kita takut mati kerana mati itu selepasnya bagaimana tanpa apa apa maka di sana di Mina - kita mampu berdoa kerana doa itu senjata yang sangat ampuh berdoalah di mana mana kerana Tuhan tidak memilih seperti kita. Rejal Said . Di tengah-tengah Serambi Mekah.

Keranda Bernombor Sepuluh

Imej
Darah tumpah memercik membasah ke kaki kaki yang berdiri di atas mata pedang kulit mereka pasti terluka dek tajamnya mata pura pura hingga membungkam kata kata Sang Pertapa yang memegang kayu sihir menggila dengan serapah Sang Hanuman Aduhai penjarah bangsa keranda bernombor sepuluh yang kau usung tidak mampu kau ampu kerana beratnya dosa-dosa di dalam yang terpasung sejak sekian lama mari putuskan satu persatu dengan pedang keberanian kita pancung rasa selesa dengan nama kebenaran atas nama kewarasan.  Rejal Said 500km dari Dataran Merdeka

KERDILNYA aku

Imej
Kerdilnya aku                                                                   saat berdiri di sudut paling sembunyi dalam dewan bicara paling sunyi deklamasi tanpa diksi suara tanpa intonasi.  Di sini tempat menunggu paling jemu engkau telah lama memeluk daku dalam dakapan paling dungu.  Lepaskan aku ke dunia tanpa sempadan berjalan aku dengan lampu di tangan menyeret puisi ku yang gelandangan terbata-bata satu     satu satu     satu satu     satu . REJAL SAID IPGM E-7

PELARIAN

Imej
Duka malam wajah-wajah tua tidak juga muncul dari jendela racau yang terbuka cahaya menerpa ke laman sasau gerak-geri yang gagau dari derap kaki berlari si kuda-kuda menghentak ke jalanan duka dalam dengus kabus pelarian wajah kelam kian tua di langit-langit luka kita masih punya masa  ayuh sebelum subuh kita lempar serawan senyuman ke kuning tebing-tebing harapan pabila terbit sang mentari  berharap moga langit tidak jo'ong kembali  dan angin gasar jangan mencuri bau kasturi dari baju diri kerana itu sahaja petunjuk untuk sampai ke destinasi. Rejal Said. Kem Motivasi April 2012.

Sisa-sisa Cinta Sirte

Imej
Sisa-sisa cinta Sirte dari hujung nafas rejim Sosialisme  yang dinyah tanpa maruah  dalam darah dalam diri  yang dikelar-kelar yang dilempar-lempar di kaki-kaki NTC Empat dekad tekad memeluk bumi Sirte rakyat lemas dalam dakapan api benci membakar Tripoli  dari Qatroun membawa ke Benghazi  raung-raung kecewa bergema di Misrata slogan benci dan anti  Gaddafi menggila di Ghadhames begitu senang berputih tulang mereka rela berputih mata. Biar semangat Bouminyar membakar sekali lagi bumi Sirte ini biar tiada lagi  Buku Hijau yang memukau atau pun Gaddafi yang digeruni. Rejal Said دورم 10

sudut-sudut sunyi

Imej
Sunyi saat berdiri sendiri di sisi kuburan ini seperti melihat aku di antara semua melihat semua di antara aku jasad-jasad di dalam lahad yang menanti pasti dari sana dari sudut sebelah sana yang sedang memandang dari sini dari sudut sebelah sini Kuala Krai JUN 2011

apa ada pada nama

Imej
Kerana anjing tidak pernah tahu mengapa ia dipanggil begitu kerana lembu juga tidak pernah bertanya mengapa ia diumpama bodoh semacam dia justeru apa ada pada nama jika ia hanya memberi makna kepada aku yang bermuka melayu yang hanya tahu dan pandai mengandai orang itu begitu tempatnya di situ orang ini begini tempatnya di sini babi tidak pernah menangis hanya kerana Tuhan berkata ia najis kerana redha itu lebih mulia dari segala kerana nama itu akan lebih bermakna jika kita tidak mudah lupa kita melayu tidak akan hilang santun bicara IPGM Kota Bharu Jun 2011

memorabilia

Imej
Ada ketika kita perlu seseorang ada ketika kita perlu berseorang sesekali bersendiri terbayang wajah-wajah teman hanya memori pengubat sepi senyum sendiri mengenang gelagat sayu hati mengimbas kelibat tawa hiba sahabat rapat air mata sebagai ubat memorabilia hadirnya di sini melayah rasa merenggut jiwa sepatah kata sudah berpada sebagai ganti tangis dan tawa Hotel Sri Costa Melaka Julai 2003

Hitamnya hitam

Imej
Berkali-kali ku sapu biru ke atas hitam sehelai kanvas  namun masih lagi  tidak mampu memalit warna hati ku di situ Berus ku sudah tercabut bulu berulangkali ku sapu namun warnanya masih hitam bersepuh biru Jika hitam itu warna latar hidup mu jangan sesekali kau sapui hatimu kerana ia warna sekata kerana hitam itu pembunuh warna-warna sedia ada. rejal said,  Kuantan, 2011.

TRAUMA

Imej
Hanya Tuhan yang tahu betapa gentar dan gelepar aku saat musibah meludah ke wajah takdir dan mengintai dari jendela waktu lalu memusnahkan ruang kehidupan. Ini takdir Mu Tuhan tiada setitis pun jua airmata nya yang tumpah ke tanah naluri apakah dia yang kehilangan sakit pada luka berdarah jiwa apakah yang benar-benar gagah saat menerima dugaan kehilangan. mimpi-mimpi indah hari esok yang disulam dalam bendang bicara hancur musnah dipuput bayu celaka kini hatinya berkata-kata meneka jalan mana lagi yang akan dilalui jika destinasinya belum pasti. REJAL SAID . TSG, 2009.

Pesan Mahaguru

Imej
belajar di mana saha Belajar jangan kurang ajar belajar untuk sedar siapa yang  mengajar kita di mana siapa gurunya betul jangan bendul mohon makbul jangan cabul bersekongkol menghiris lidah dengan pisau pendurhaka dan menggenggam bara dosa lalu dengan tega menyuap ke mulut sendiri Mengajar jangan gusar atau ragu dengan ilmu menyapu dungu di laman fikiran perlu penyapu baru bukan sedikit sakit belati caci menembusi hati seka airmata dengan tangan iman dengan sabar di dada mahalnya harga sebuah penghargaan semahal rumah mewah maruah. IPGM Kota Bharu Disember 2010

SUATU PERTANYAAN

Imej
Apakah kamu menyangka Dia lepaskan kamu untuk bermain-main di sini sekadar main-main? Pernahkah kamu merasa dinginnya angin restu saat lekanya kamu memangku dosa dan tekunnya kamu mencarik pahala Seringkali kamu terlupa untuk menyisir rambut sendiri pada saat kamu menadah tangan dan berteleku di hadapan Dia bermunajat sekadar mengundang seribu murka dan menjemput seribu kalut ke ribaan lantaran menyelimut diri dengan dosa. Tuhan satu keampunan lebih berharga daripada seribu nyawa dan satu kemurkaan lebih hina daripada seribu petaka izinkan aku menjadi tiada kerana tiada itu lebih baik daripada menjadi sebutir pasir yang menanggung segala. IPGM, Kota Bharu NOV 2010

Ku Kirim Rindu Di Angin Lalu

Imej
S elamat hari raya...maaf zahir batin...permisi kiranya tidak pulang berhari raya saban tahun pada saat lebaran menjelma. Bukan hati tak sudi. Bukan juga lupa.Apa lagi membenci.Diri ini bukan kacang yang sudah lupakan kulit.Juga bukan tanggang yang menghilang.Tempat jatuh lagi dikenang...inikan pula tempat bermanja.Di sana tempat aku bermula dan di sana juga aku mengenal siapa diri aku yang sebenarnya.Aku masih belum hilang kewarasan apatah lagi kewajaran aku memilih jalan hidup yang amat asing di sini adalah kemahuan diri sendiri. Maaf kerana memilih jalan ini tanpa meminta kewajaran dari sesiapa.Sesungguhnya aku amat bahagia di sini.Walau rindu itu terkadang menyapa dan mengajak aku  bermenung; berfikir dan berfikir seolah-olah waktu telah membeku dan hanya aku di situ tanpa mereka.     Di sini, terkadang dalam diam bau harum memori yang menerpa sering membuat aku terkesima, lantas tanpa diundang hiba menjelma melagukan irama rindu dari runut hatiku yang paling su...

Ku Merindui Dia

Imej
Kalutnya ku rasa pada saat ini.Rindunya aku pada dia.Pemimpin ulung yang berjiwa besar.Dia Mahathir yang terakhir.Mencari dia dalam timbunan kekalutan yang melanda negara kini bagai tiada aku berjumpa. Reba-reba rindu yang tersangkut di kakiku melambatkan perjalanan ke lembah cita. Masih ku ingat saat air mata nya tumpah membasah ke segenap daerah bertuah tanahairku. Saat dia membuang diri merajuk yang tak kan kembali-kembali. Mahathir yang terakhir ku lihat garis-garis usia terpahat pada wajah resah seorang doktor negara. Senyum terukir di bibir. Tangan merangkul amanah yang diserah pada bukan Mirzan; juga bukan Mukhriz mahu pun Marina..kerana dia Mahathir yang terakhir.Menghabisi ayat dari bicaranya yang manis memikat dunia..bagai tanpa sifat dia merungkai firasat penggantinya bukan semacam dia..Dia Mahathir manusia terakhir yang memahat namanya pada setiap hati nurani rakyat yang menangisi pemergiannya..Tiada lagi bisa yang mampu  membunuh musuh ..tiada lagi hikmat yang dapat...

Apa Yang Kamu Rasa ?

Imej
   Pada saat kamu menyakiti hati ku, dengan pelbagai tuduhan dan tohmahan,aku hanya berdiam diri kerana  ku rasa berdiam diri pada saat ini lebih baik lantaran menyaksikan kamu menggila membakar melempar mencalar maruah ku...Bukan kah kita serumpun dari leluhur yang sama.Kamu Melayu; begitu juga aku. Kamu Islam sama dengan ku.Bezanya kamu di sana dan aku di sini..Mengapa mesti kamu nyalakan api benci dan kamu bongkar pusara dendam yang terpendam kian lama.    Aku tidak tahu pasti, apa lagi mahu mu, pada saat kau malukan aku dengan kata nista dan perilaku durja.Lantas memaksa aku tunduk mengikut telunjuk memohon kemaafan kepada kesalahan yang tidak pernah aku lakukan.Apa niatmu pabila sering kali menguji kesabaran dan sifat toleranku? Kita Punya Kitab Yang Sama.    Lupakah kamu siapa aku dan kamu ? Hanya kerana kamu bangsa Indonesia dan aku bangsa Malaysia ? Jika kerna itu kamu memandang aku dengan mata kebencian,jika kerna itu kamu mendengar aku den...

Salam Ramadhan (tanpa rasa apa-apa,tanpa berbuat apa-apa...)

Imej
Entah mengapa setelah sekian lama menyepi, tergerak di hati ku untuk menukar genre penyampaian kepada khalayak ku...mungkin juga Ramadhan amat memberi kesan.Tanpa di sedari Ramadhan kian hampir ke penghujungnya.Dan aku masih di sini tanpa rasa apa-apa, tanpa berbuat apa-apa...Sedang di sekeliling ku, manusia-manusia berkepentingan saban waktu menghambat waktu; meracik dosa dan melepa pahala..dan aku masih di sini tanpa rasa apa-apa, tanpa berbuat apa-apa...Mungkin juga aku perlu menunggu sehingga aku benar-benar bersedia, namun Tuhan... siapalah aku dalam dunia yang bukan milikku...izinkan aku menumpang walau cuma sepetang kerana aku masih lagi di sini tanpa rasa apa-apa,tanpa berbuat apa-apa...